Monday, August 31, 2009

Sambutan Hari Merdeka?

Antara perkara yang dilakukan bagi menyambut hari kemerdekaan biasanya merupakan perbarisan yang disertai oleh kelab-kelab dari sekolah-sekolah seMalaysia. Sambutan hari kemerdekaan pada tahun ini, yang juga jatuh dalam bulan Ramadhan sememangnya harus disambut dengan penuh kesederhanaan. Sangat-sangat setuju. Namun, apa yang sedang bermain di fikiran adalah mengapakah sambutan-sambutan ini diadakan seandainya ia sekadar sambutan yang tidak memberi erti yang dalam bagi rakyat. Contoh yang paling ketara adalah apabila melaungkan bait-bait Rukun Negara terutamanya yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan. Sebagai rakyat Malaysia, terutamanya yang Muslim, kita seharusnya sedar bahawa apa yang diucapkan itu sepatutnya menjadi panduan hidup kita dalam melaksanakan gerak-geri kita dalam aktiviti-aktiviti harian. Namun, apa yang saya lihat kini, semua ini hanyalah kata-kata yang disebut mulut, tetapi tidak dihayati oleh hati empunya badan. Contoh lain adalah dalam nyanyian lagu patriotik dengan penuh semangat dengan mengibarkan jalur gemilang tanpa mengendahkan hari yang panas lantaran sedang berpuasa. Apa yang diharapkan hanyalah setiap perasaan sewaktu itu dijadikan sesuatu iktibar dalam menjalani kehidupan pada hari-hari lain juga. Bukannya sekadar mengucapkan, menyanyi, dan hanya meninggalkan semua itu sebagai sejarah bagi sambutan kemerdekaan. Di jalan raya, misalnya. Apakah salahnya jika kita cuba mengingatkan diri kita bagaimana semangatnya menyambut hari merdeka dan melaungkan baris-baris rukun negara, "kepercayaan kepada Tuhan, hingga akhir sekali "Kesopanan dan kesusilaan". Adakah semua ini dipraktikkan dalam kehidupan kita seterusnya? Jika, ya, maka mengapakah masih terdapat pelbagai masalah di jalan raya, di kota, dan di segenap pelusuk negara kita? Ke manakah hilangnya semua semangat kenegaraan, tolong-menolong antara satu sama lain, dan segala kata-kata yang tertulis dalam lirik-lirik lagu kebangsaan yang dinyanyikan dengan penuh keyakinan itu?

Janganlah biar hanya mulut berbicara, tetapi anggota badan tidak melaksanakan tanggungjawab. Janganlah biar kata-kata sekadar perhiasan yang tidak kekal. Biarlah tiada sambutan penuh semangat sekalipun, asalkan semangat utuh di jiwa kekal ke akhir zaman, berterusan ke generasi yang lain...berbanding mengadakan sambutan penuh keramaian dan semangat jitu yang dipaparkan hanya sekadar lisan yang hanya bertahan selama sehari...

No comments:

Post a Comment